AI untuk Masyarakat Sivil dan Kedermawanan
Membantu masyarakat meraih manfaat daripada AI sekarang dan secara berskala—bermula dengan komitmen bernilai AS$100 juta untuk meningkatkan hasil kesihatan.
Bagaimanakah kita dapat memastikan kecerdasan am buatan memberikan manfaat kepada seluruh umat manusia?
Persoalan ini menjadi teras kepada usaha OpenAI Foundation. Kami mengusahakan misi ini melalui beberapa pendekatan, meneroka cara AI yang termaju boleh mempercepat kemajuan saintifik, membantu masyarakat membina daya tahan yang diperlukan untuk mengemudi AI yang semakin berupaya serta meneliti cara teknologi ini akan membentuk pekerjaan dan ekonomi. Pelaburan ini penting untuk memastikan AI memberikan manfaat kepada umat manusia dalam jangka panjang.
Kita juga perlu memikirkan tentang cara AI dapat membantu orang ramai dan komuniti menangani cabaran yang mereka hadapi hari ini. Kami percaya masyarakat sivil memainkan peranan yang amat penting untuk merealisasikan perkara ini.
Oleh sebab itulah OpenAI Foundation melancarkan AI untuk Masyarakat Sivil dan Kedermawanan, sebuah program baharu yang beriltizam untuk memanfaatkan AI termaju bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi oleh orang ramai dan komuniti di seluruh dunia.
Pertubuhan bukan untung, institusi akademik, gabungan komuniti dan organisasi kedermawanan amat penting kepada struktur sosial masyarakat kita. Mereka menyediakan perkhidmatan yang penting dan sering kali berada paling hampir dengan cabaran yang mana penglibatan teknologi mampu memberikan impak yang paling besar. Melalui People-First AI Fund, kami telah melihat sendiri cara organisasi yang dipercayai memanfaatkan AI untuk berkhidmat kepada komuniti mereka—dan betapa banyak lagi yang boleh dicapai.
Dari segi sejarah, organisasi yang menyediakan perkhidmatan tempatan yang kritikal merupakan antara yang paling akhir menerima pakai atau mendapat manfaat daripada teknologi baharu. AI mungkin merupakan teknologi yang paling transformatif setakat ini, dan kita tidak sepatutnya membenarkan pola tersebut berulang dalam konteks AI. Usaha untuk memutuskan kitaran ini memerlukan lebih daripada sekadar akses kepada alat: usaha ini memerlukan pelaburan berterusan pada skala besar, kepakaran teknikal dan sokongan untuk pelaksanaan yang bertanggungjawab—semuanya dengan berpandukan keputusan yang dibuat bersama dengan organisasi dipercayai yang beroperasi dalam komuniti yang paling terjejas.
Kami bermula dengan tiga keutamaan:
Memanfaatkan AI dalam perkhidmatan asas yang dapat meningkatkan akses dan hasil dengan cara yang bermakna.
Melengkapi organisasi masyarakat sivil dengan alat, kepakaran dan sokongan yang diperlukan untuk menerima pakai AI secara bertanggungjawab.
Membina infrastruktur bersama supaya alat, bukti dan pengajaran yang berkesan dapat memberikan manfaat kepada sektor sosial secara keseluruhan.
Kami berhasrat untuk membantu organisasi mengenal pasti bidang yang mana AI benar-benar dapat memperkukuh kerja mereka—serta menyediakan sumber yang diperlukan untuk melaksanakan perkara tersebut.
Komitmen AS$100 juta untuk memperkukuh pasukan penjagaan kesihatan
Perkongsian pertama kami ialah komitmen AS$100 juta kepada Common Health Coalition—kerjasama kesihatan terbesar di negara ini yang melibatkan pelbagai sektor—untuk melancarkan Breakthroughs to Follow-Through (B2F), satu usaha nasional untuk menggunakan AI bagi membantu memastikan kemajuan perubatan yang mampu menyelamatkan nyawa sampai kepada orang yang boleh mendapat manfaat daripadanya.
B2F akan bekerjasama dengan jabatan kesihatan negeri, sistem kesihatan, penyedia penjagaan kesihatan dan organisasi komuniti. B2F akan dimulakan dengan matlamat untuk menggandakan kadar penyembuhan hepatitis C di Alabama, Illinois, Louisiana dan Massachusetts sebagai permulaan, dengan wilayah tambahan akan diumumkan kemudian.
Hepatitis C menggambarkan cabaran yang kita hadapi: rawatan penyembuhan yang sangat berkesan telah tersedia selama lebih daripada sedekad, namun halangan berterusan terhadap akses, diagnosis, rawatan dan susulan menyebabkan dua pertiga daripada rakyat Amerika yang menghidap penyakit ini masih belum dirawat. Akibatnya, ratusan ribu orang masih berisiko untuk menghidap penyakit hati yang boleh dicegah ini.
Alat yang didayakan AI boleh membantu pasukan penjagaan kesihatan mengenal pasti dan menghubungi semula pesakit yang telah terputus hubungan daripada perkhidmatan penjagaan kesihatan, mensintesis rekod, menjejaki kemajuan serta menumpukan kapasiti kakitangan yang terhad kepada bahagian yang mampu memberikan impak paling besar. Matlamatnya bukan untuk menggantikan mereka yang memberikan penjagaan, tetapi untuk membantu mereka menjangkau lebih ramai pesakit sambil mengurangkan beban pentadbiran. Dari semasa ke semasa, B2F akan memperluas infrastruktur ini kepada bidang lain yang menyaksikan rawatan dan intervensi yang terbukti berkesan tidak sampai kepada golongan yang memerlukannya, termasuk pencegahan HIV dan kanser tertentu yang boleh disembuhkan.
Anda boleh membaca lebih lanjut tentang usaha ini dalam pengumuman yang diterbitkan hari ini oleh Common Health Coalition.
Memandang ke hadapan
B2F hanyalah satu contoh penggunaan AI untuk manfaat awam. Kami sedang menjalinkan libat urus dengan organisasi dan komuniti yang menghadapi pelbagai cabaran—daripada pertanian kepada bantuan guaman hingga tindak balas kemanusiaan—untuk memahami cara AI dapat memperkasakan kerja mereka dengan ketara, rintangan yang menghalang penerimagunaan dan jenis pelaburan serta sokongan yang diperlukan.
Individu yang paling dekat dengan cabaran ini harus menentukan masalah yang wajar diselesaikan serta membimbing dan membentuk kaedah pelaksanaan penyelesaian. Peranan kami adalah untuk menggabungkan kepakaran mereka dengan kepakaran kami—bekerjasama untuk menguji idea dan penyelesaian baharu, serta menyediakan modal, sokongan teknikal dan memberikan kerjasama untuk menentukan sama ada dan cara AI dapat membantu.
Kemajuan teknologi harus diukur berdasarkan bilangan orang yang mendapat manfaat daripadanya.
Jika anda ingin menghubungi pasukan AI untuk Masyarakat Sivil & Kedermawanan kami, sila hubungi [email protected].